fbpx

Sambut Aidilfitri, Aidiladha dalam cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Cuaca panas melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ogos ekoran perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya dengan catatan suhu hari­an sekitar 36 hingga 38 darjah Celsius.

Justeru, umat Islam di negara ini bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dalam keadaan cuaca yang panas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan pencerapan suhu maksimum harian di stesen meteorologi di seluruh negara, sehingga kini, suhu maksimum harian tertinggi untuk bulan ini ialah 38.5 darjah Celsius di Felda Sungai Koyan 1, Pahang pada 16 April 2023.

“Hujan dan ribut petir pada sebelah petang pada masa kini berlaku di kawasan pedalaman negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung dan tidak menyeluruh.

“Tempat-tempat yang kurang hujan mengalami cuaca panas. Keadaan ini sementara kerana ribut petir pada sebelah petang terutama di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung dijangka berlaku seperti lazimnya semasa tempoh peralihan monsun,” katanya kepada Kosmo!.

Muhammad Helmi berkata, suhu yang lebih tinggi biasanya akan berlaku di kawasan pedalaman sama ada di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Berdasarkan data sehingga 16 April lalu, suhu maksimum yang agak tinggi antara 35 sehingga 37 darjah Celsius direkodkan untuk beberapa hari di negeri-ne­geri utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Cuaca panas dengan suhu tinggi itu juga turut dirasai sekitar Negeri Sembilan, pedalaman Kelantan serta Pahang,” ujarnya.
Katanya lagi, suhu maksimum harian boleh meningkat disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.

“Adalah normal suhu permukaan meningkat apabila hujan tidak turun selama beberapa hari di sesuatu kawasan.

“Risiko akibat suhu yang terlalu tinggi atau gelombang haba adalah seperti dehidrasi, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba yang boleh memburuknya keadaan kesihatan seseorang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI