SHAH ALAM – Bakar mercun mengikut prosedur atau berdepan tindakan undang-undang.
Itu amaran Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berhubung tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan kecederaan atau harta benda.
Kata Hussein, pihaknya ada menerima beberapa laporan berhubung pembakaran mercun seperti di Gombak yang menyebabkan kecederaan selain membakar di jalan raya (Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang).
“Bakar mercun ini mesti mengikut peraturan ditetapkan di tempat lapang dan bukan depan rumah jiran atau tengah malam sehingga menganggu ketenteraman awam dan menuju kepada orang lain.
“Tindakan boleh diambil mengikut Akta letupan di mana penggunaan bahan api atau letupan tidak mengikut prosedur atau mendapat lesen,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2023 peringkat kontinjen Selangor kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Dataran Kemerdekaan di sini.
Minggu lalu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin menegaskan bunga api merupakan bahan letupan dikategorikan sebagai Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD).
Bermain bunga api melebihi pukul 12 tengah malam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].
Tindakan sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, seramai 782 anggota dan pegawai bertugas sepanjang Ops Selamat ini di seluruh Selangor selain terdapat pasukan khusus dalam melakukan siasatan kemalangan jalan raya dan jenayah.
“Terdapat 62 hot spot kemalangan jalan raya dengan kesesakan berlaku di pinggiran negeri seperti Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sepang.
“Kita juga mengenalpasti enam black spot iaitu lokasi yang kerapnya berlaku kemalangan dengan meletakkan anggota dan rondaan lebih di kawasan ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE