RICHMOND, Virginia – Seorang pesara di negeri Virginia dipilih untuk memelihara seekor kucing gemuk seberat 18.27 kilogram (kg) selepas iklan mengenai haiwan besar itu tersebar, lapor portal berita New York Post semalam.
Kay Ford berkata, dia dihubungi anak perempuannya yang memaklumkan tentang kucing gemuk bernama Patches selepas agensi perlindungan haiwan, Richmond Animal Care and Control (RACC) menyiarkan iklan mengenainya pagi semalam.
“Dia menghantar teks kepada saya pagi ini (semalam) semasa saya menonton episod akhir The Mandalorian. Saya melihat gambar Patches. Saya kemudian pergi untuk mendapatkan kucing itu,” ujarnya
Bagaimanapun, Ford berdepan saingan sengit.
“Saya tahu bahawa akan ada sembilan bilion orang yang jatuh cinta dengannya pada masa yang sama,” tambah Ford. Kata wanita itu, dia pada mulanya keberatan untuk menaruh harapan.
Malah, iklan RACC itu menarik minat ramai peminat kucing dari California hinggalah ke Maine kerana tulisannya yang lucu dan imej kucing gemuk tersebut yang comel. – Agensi