PETALING JAYA – Seorang peniaga meluahkan rasa marah dan kecewa selepas beberapa helai baju kurung yang dijualnya terkena aiskrim akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pelanggan.
Melalui video perkongsian DtnRuby di akaun TikTok miliknya, dia menunjukkan keadaan ruang perniagaan dan baju-baju jualannya yang kotor sehingga menyebabkan dirinya kerugian.
Menurutnya, aiskrim tersebut terjatuh daripada tingkat atas pusat beli belah di Aman Sentral, Kedah dan apa yang dikesalkan apabila tiada siapa pun yang datang memohon maaf.
“Tolong eh jaga anak. Kalau minta maaf oklah tak kisah. Ni mai (mari) pun tak, buat tak tahu saja.
“Takkanlah tak pikiaq (fikir) langsung perasaan orang duduk berniaga kat bawah masa tu pula ada ‘customer’. Sikit lagi nak kena kepala dia,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mencela perbuatan individu terbabit yang lepas tangan.
” ‘At least’ pergi minta maaflah. Ish dosa dengan manusia kalau dia tak maafkan bawa sampai dalam kubur,” kata Farhana Mutalib.
“Tengok CCTV (televisyen litar tertutup). Ada bukti kasi saman terus. Tak bertanggungjawab langsung. Sekurang-kurangnya datanglah minta maaf,” ujar Farah Adilah.
Perkongsian tersebut tular di TikTok sehingga memperoleh lebih 200,000 tontonan dan 7,543 tanda suka. – KOSMO! ONLINE