GUA MUSANG – Polis mengesan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab mengalih penghadang jalan di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, setakat ini, pihaknya telah mengesan satu laluan iaitu di hadapan Hentian Gua Musang diceroboh pengguna jalan yang merentasi halangan berkenaan.
Katanya, tindakan mengalihkan penghadang yang dipasang itu dipercayai kerana individu berkenaan ingin memudahkan pergerakan mereka dan memendekkan perjalanan berbanding jalan alternatif yang lebih jauh.
“Kita mengharapkan supaya pengguna jalan raya tidak mengalih lencongan yang dibuat oleh pihak berkuasa demi keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Jangan mementingkan diri sendiri untuk cepat sampai ke destinasi sehingga kita mengubah lencongan yang telah dibuat pihak berkuasa. Lencongan itu dibuat untuk keselesaan kita di masa akan datang untuk memberi laluan kepada pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat pemantauan lencongan yang dibuat pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pegawai trafik di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini semalam.
Choon Foo juga memberitahu, pihak polis membuat pemantauan secara berterusan sejak tiga hari lalu untuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna di laluan alternatif.
Katanya, sebanyak lima kes kemalangan direkodkan di laluan alternatif sepanjang tempoh berkenaan.
“Kebanyakan kes adalah kemalangan ringan seperti langgar belakang kenderaan disebabkan jarak yang dekat.- KOSMO! ONLINE