TOKYO – Seorang lelaki Jepun membelanjakan 2.01 juta yen (RM66,174) semata-mata untuk membeli kostum anjing baka collie dan menjadi haiwan berkaki empat itu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Lelaki menggunakan nama Toco itu membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan kostum ultrarealistik bagi memenuhi fantasi hidupnya untuk menjadi seekor anjing.
Toco menyiarkan rakaman menunjukkan dia dibawa bersiar-siar, bersantai di dalam sangkarnya dan menerima gosokan di perut kepada hampir 24,000 pengikut di laman YouTube.
Dia menempah kostum itu tahun lepas dengan syarikat Zeppet dan sejak itu menikmati kehidupan sebagai anjing, manakala masa selama 40 hari diperlukan untuk menghasilkannya.
Walaupun menikmati kehidupan berkaki empat, Toco berkata, dia masih belum berkongsi hobi tersebut dengan beberapa rakannya kerana tidak mahu mereka menganggap dirinya pelik.
Klip video terbaharunya ditonton hampir setengah juta orang di YouTube. Ia menunjukkan Toco merangkak dan bermain dengan tali anjing. – Agensi