PETALING JAYA – Jumlah kenderaan di beberapa lebuh raya utama dilihat semakin bertambah sejak pukul 7 pagi tadi susulan orang ramai memulakan perjalanan balik ke kampung selepas subuh sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! menerusi laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan jumlah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan pagi ini semakin bertambah melibatkan kedua-dua arah dan aliran trafik sesak di beberapa tempat.
“Aliran trafik menuju ke utara, dilaporkan sesak di Kilometer (KM) 339.9 dari Bidor ke Tapah.
“Bagi arah selatan pula, trafik sesak di KM 274.3 bermula dari Seremban.
“Terdapat juga kemalangan di KM 448.1 arah Selatan dari Rawang (S) ke Hospital Sungai Buloh. Bagaimanapun, tiada lorong terhalang namun trafik perlahan,” lapornya.
Sementara itu, melihat kepada aliran trafik semasa setakat pukul 8.10 tadi, berlaku kesesakan di beberapa laluan melibatkan Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) ekoran warga kota mula bergerak pulang beraya ke negeri Pantai Timur.
Hasil tinjauan Kosmo! kesesakan itu dilihat mula berlaku di laluan masuk Plaza Tol Gombak dan kemudian kenderaan bergerak perlahan sebelum sesak di LPT1 melibatkan Karak KM 77.8.
Sementara itu, di KLK, bagi laluan susur keluar ke Bentong, berlaku kesesakan kira-kira 5km pagi ini. – KOSMO! ONLINE