PETALING JAYA- Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita yang suka membuat perkara penting dalam tempoh akhir menjelang hari raya Aidilfitri.
Terbaharu, dilaporkan kebanyakan kedai gunting rambut penuh dengan kehadiran pelanggan sehingga tidak menang tangan ketika hari-hari terakhir Ramadan.
Malah ada yang terpaksa memilih pelanggan dan ada juga yang terpaksa menaikkan harga dua kali ganda.
Seorang tukang gunting yang ingin dikenali Rahman Barber, 36, berkata, kehadiran pelanggan yang ramai menjelang akhir Ramadan ini sememangnya sudah dijangka.
“Memang sudah jangka, dua hari nak raya atau malam raya mesti penuh kedai, awal-awal mereka tak nak datang. Alhamdulillah ini dipanggil rezeki.
“Saya terpaksa memilih pelanggan, tak semua saya ambik, ada juga rakan penggunting lain yang dah menaikkan harga.
“Kenaikan harga itu bukanlah seperti orang cakap kami ni nak untung sahaja, itu upah lebih masa kami,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambahnya lagi, khidmat terakhir rata-rata tukang gunting rambut adalah pada malam hari raya.
“Kami biasa akan tutup awal pagi raya untuk kami rehat seterusnya beraya bersama keluarga,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE