fbpx

Hati tersenyum Mohamed Salah bagi ‘duit raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pengurus Liga Fantasi Kosmo! yang muncul pemenang mingguan ke-31.
ABDUL RAZAK ABDUL MAJID

Ibarat Mohamed Salah beri duit raya

PERCATURAN untuk menggunakan khidmat pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah sebagai kapten membuahkan hasil apabila pasukan Viking FC meledak dengan kutipan mata mingguan tertinggi pada ming­gu ke-31 saingan Liga Fantasi ­Kosmo! (FPL Kosmo!).

Skuad kendalian M. Azahar atau nama sebenar Abdul Razak Abdul Majid merupakan peminat tegar Arsenal dan sebelum ini sering meletakkan khidmat pemain sensasi The Gunners, Bukayo Saka selaku kapten.

“Saya tidak tahu kenapa naluri saya sebelum membuat rombakan dalam pasukan mahu meletakkan Salah sebagai ­kapten kerana sebagai penyokong Arsenal, saya memastikan Saka diberikan tugas tersebut.

“Namun, saya bernasib baik kerana Saka tidak menyumbangkan sebarang mata langsung buat Arsenal selain terlepas sepakan penalti manakala Salah begitu menjadi dengan The Reds apabila berjaya menewaskan Leeds 6-1.

“Apa yang pasti, saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana ia adalah kali kedua saya menang bersama Kosmo! Tidak keterlaluan untuk saya katakan ini sebagai duit raya pada musim ini,” katanya.

 

ABDUL SHUKOR SHAARI

Liverpool hadiahkan kemenangan buat Abdul Shukor

KECEMERLANGAN Liverpool berpesta gol membelasah Leeds United 6-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Selasa lalu sememangnya menggembirakan pasukan L8 Reds; No Devils.

Lebih manis apabila percaturan pengurus, Abdul Shukor Shaari mengena apabila kapten pasukannya, Mohamed Salah berjaya me­nuai dua jaringan pada aksi itu.

Ia secara tidak langsung membolehkan pengurus dari Shah Alam itu muncul antara lima pemenang mingguan terbaik Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) bagi minggu ke-31.

“Alhamdulillah, ini kali kedua saya muncul pemenang mingguan selepas menang minggu ke-26.

“Saya jangka dapat markah tinggi kalau Liverpool menjadi. Tuah saya juga apabila Marcus Rashford tidak menjadi dengan Manchester United minggu ini, jadi pasukan saya ada peluang, sama seperti minggu ke-26 sebelum ini,” katanya.

Kini, Abdul Shukor menyasarkan sebagai pemenang mingguan selepas menyedari peluangnya tipis untuk merebut hadiah utama FPL Kosmo!

 

KOGILAN RAJAN

Cikgu julang kemenangan sulung Liga Fantasi Kosmo!

MENGEKALKAN pemain bintang seperti Mohamed Salah dan Erling Haaland pada setiap perlawanan menjadi kunci buat pengurus Kogilan Rajan apabila pasukannya muncul pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! (FPL ­Kosmo!) 2022/2023 bagi saingan minggu ke-31.

Pengurus berasal dari Ipoh, Perak itu seakan-akan puas dengan kemenangan tersebut kerana percubaanya sepanjang musim lalu akhirnya berbaloi apabila mencatat mata tertinggi mingguan saingan FPL Kosmo!.

Katanya, saingan FPL ­Kosmo! ternyata mencabar dan sukar mengatasi pengurus-pengurus lebih berpe­ngalaman yang mengutip mata tertinggi setiap minggu.

“Jika diikutkan peranca­ngan minggu lalu, saya hanya mengekalkan pemain yang mampu menyumbang mata seperti pemain Aston Villa yang mengutip 16 mata. Selain itu, saya turut mengekalkan Salah dan Haaland dari awal perlawanan lagi dan saya tidak pernah buang mereka.

“Saya rasa ini salah satu punca saya mampu berada dalam senarai pengurus yang berjaya mengutip mata tertinggi pada FPL Kosmo!,” katanya.

Kogilan yang kini bertugas di sebuah sekolah di Klang, Selangor berharap tuah terus memihaknya untuk menang buat kali kedua dalam baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ini.

 

BADARUDZAMAN MOHD. NORDIN

Impian buru hadiah utama berkecai, sasaran kini menang mingguan

SIAPA sangka dengan hanya sekadar suka-suka, pengurus koikas fc, Badarudzaman Mohd. Nordin muncul pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) pada saingan minggu ke-31.

Katanya, pada mulanya dia meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan, selepas melihat ketinggalan jauh dipintas oleh pengurus FPL terbaik di Malaysia, Badarudzaman memburu hadiah mingguan yang turut dianjurkan Kosmo!

“Saya memang tidak sangka dapat mata tertinggi mingguan FPL Kosmo! kerana kita tahu ada ramai peserta yang hebat-hebat. Jika diikutkan sebelum ini, jurang mata agak tinggi hingga 100 mata ke atas.

“Dengan pelbagai cubaan ­akhirnya rezeki minggu ini menjadi milik saya dan menariknya ini adalah kemenangan sulung FPL Kosmo! Saya bersyukur sebab bukan senang nak menang. Mungkin ini rezeki Aidilfitri,” kata pe­ngurus dari Bukit Rengit Lanchang, Pahang tersebut.

Badarudzaman berharap rezeki terus memihaknya untuk menang buat kali kedua dalam baki lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ini.

 

AMIR ZAKWAN ABD. RAMI

Tuah Aidilfitri buat Garu Garu Futbol

PENGURUS Garu Garu Futbol, Amir Zakwan Abd. Rami langsung tidak menjangka sekali lagi menjadi pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) untuk saingan minggu ke-31.

Menurutnya, dia amat bersyukur dan menganggapnya sebagai rezeki Hari Raya Aidilfitri kerana me­rasakan aksi kali ini amat mencabar dan kebanyakan pasukan juga berjaya me­raih mata tinggi.

“Memang tidak sangka akan menang sebab FPL Kosmo! ada ramai peserta dan mata mereka juga tinggi. Rezeki saya sebab dapat menang lagi.

“Saya dapat kali pertama pada minggu ke-24 dan amat bersyukur sebab bukan senang sebenarnya mahu menang. Ini dapat pula kali kedua, mungkin ini rezeki Hari Raya Aidilfitri buat saya,” kata pengurus dari Ipoh, Perak itu.

Amir Zakwan yang kini bertugas di pelantar minyak di Kota Kinabalu, Sabah berharap rezeki terus memihaknya untuk menang buat kali ketiga dalam baki lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI