fbpx

Eksport nangka, produk akuakultur ke China dijangka melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan eksport buah nangka dan produk makanan akuakultur ke China bakal melonjak tahun ini.

Ia susulan pelaksanaan dua protokol baharu yang berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin dua bahan tersebut dimeterai kerajaan Malaysia dan China pada 1 April lalu.

KPKM menerusi kenyataan di sini hari ini berkata, pemeteraian rasmi itu membuka ruang pasaran eksport baharu Malaysia meneroka peluang potensi jualan di negara berkenaan.

“Pada masa ini, nilai eksport nangka negara ini sepanjang 2021 adalah sebanyak RM18.5 juta dengan pengimport utama ialah Singapura, Czechia dan Jerman,” katanya.

Malahan ujar KPKM, buah eksotik tropika tersebut turut mendapat permintaan di Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu kerana sesuai dimakan mentah serta ada banyak khasiat.

Justeru, pemeteraian protokol dengan China dijangka memperluaskan pasaran nangka Malaysia dengan sasaran nilai eksport mampu mencecah sebanyak RM10 juta setahun.

Begitu juga produk industri makanan akuakultur kerana sebelum ini jelas KPKM, Malaysia hanya dibenarkan untuk mengeksport tepung ikan atau fish meal ke negara berkenaan.

Sehubungan pelaksanaan protokol baharu itu, ia berupaya membuka peluang untuk para pengilang Malaysia memasarkan produk makanan akuakultur yang lebih meluas di China.

“Bahkan KPKM menyasarkan potensi eksport produk tersebut ke negara berkenaan jika tiada masalah besar dapat mencapai nilai RM42 juta setahun,” tambah kenyataan itu lagi.

Ketika ini, Malaysia cuma mengeksport makanan akuakultur ke beberapa negara dengan pengimport terbesar ialah Arab Saudi, Brunei, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Pasaran enam negara di benua Asia tersebut menyaksikan nilai keseluruhan jualan produk berkenaan mencecah sebanyak RM53 juta yang pernah direkodkan KPKM pada 2021.

Pemain industri yang berminat untuk mendaftar sebagai pengeksport buah nangka ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian dengan e-mel terus kepada [email protected].

Sementara bagi pendaftaran pengeksport makanan akuakultur ke negara itu pula boleh menghubungi Jabatan Perikanan dengan mengemukakan e-mel kepada [email protected].

“KPKM menjangkakan pelaksanaan dua protokol ini bakal menggalakkan perkembangan pesat industri tanaman nangka dan pasaran makanan akuakultur ke China,” jelasnya.

Malaysia memeterai protokol tersebut dengan pihak kastam China ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan pada akhir bulan lepas.

Ia ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mewakili Malaysia manakala kerajaan China pula oleh Menteri Pentadbiran Umum Kastam, Yu Jianhua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI