Peraturan sesi persekolahan Mac 2023 lebih ketat. Ia berbeza ketika Covid-19 di mana pelajar atau murid boleh ponteng sesuka hati atas alasan tidak sihat.
Tiada siapa yang membantah kerana orang sakit memang tak dialu-alukan masuk pejabat atau kelas. Entah iya entah tidak hanya tuan punya badan tahu.
Minggu ini, dalam kumpulan WhatsApp kelas anak juga tidak kurang meriahnya dengan senarai panjang murid tak hadir dengan alasannya sekali.
Di dalam senarai itu, guru kelas telah memberi amaran kepada murid yang tidak hadir beberapa kali tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan.
Pemberian surat amaran atau lebih keras lagi dibuang sekolah menjadi ancaman. Ibu bapa yang berniat untuk memontengkan anak mereka perlu menulis surat rasmi atau membawa bersama sijil cuti sakit keesokan harinya.
Biasanya antara alasan yang diberikan ialah urusan keluarga, tak sihat, batuk, selesema, ahli keluarga meninggal dunia, mengikut keluarga balik kampung dan lain-lain.
Namun, minggu ini apatah lagi beberapa hari lagi hendak menjelangnya 1 Syawal, kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan memontengkan anak mereka ke sekolah untuk pulang awal ke kampung.
Tanpa berselindung, mereka dengan yakinnya menulis ‘balik kampung’ di ruangan alasan.
Apa yang menjadi hujah mereka ialah takkan bodoh la si anak tak sekolah sehari kerana apa yang penting ialah dapat bersama keluarga lebih awal.
Bagi penulis, memontengkan anak untuk menimba ilmu walaupun sehari amat merugikan kerana setiap hari ada sahaja perkembangan terbaharu disampaikan guru.
Ketika kecil, ibu penulis cukup pantang sekiranya anak-anaknya ingin ponteng walaupun buku teks sudah diserahkan dan cikgu tidak lagi mengajar.
“Nanti rekod kedatangan kau buruk, tak cantik. Lagipun buat apa duduk rumah baik pergi sekolah,” begitu pesannya yang masih diingati sampai hari ini.
Ilmu yang diberikan walaupun dalam tempoh beberapa jam bermula pukul 7.30 pagi hingga 12.50 tengah hari itu terlalu berharga meskipun ada sesetengah orang menganggapnya remeh.
Lebih malang apabila niat untuk pulang awal ke kampung bagi mengelakkan kesesakan terutama perantau di pantai timur langsung tidak berbaloi.
Lihat sahaja apa yang terjadi di Lebuh Raya Karak kelmarin apabila puluhan ribu kenderaan terperangkap akibat penyelenggaraan jalan oleh pihak konsesi.
Asalnya hendak sampai cepat tetapi terpaksa menghabiskan masa berjam-jam lamanya menghadap sesak. Bertambah malang apabila kereta pula rosak ketika dalam kesesakan itu. Tak tentu arah dibuatnya.
Walau apapun alasan, adalah diharapkan semua orang boleh bergembira menyambut Syawal bersama keluarga tersayang. Cuma yang menjadi hambar ialah kebanyakan orang tidak duit untuk berbelanja.
Rungutan demi rungutan diutarakan oleh peniaga kerana jualan tak memberangsangkan, namun semuanya patut bersyukur kerana ia menjadi pengajaran kepada kita semua tanpa disedari.