fbpx

Awak-awak bot nelayan ditahan positif syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA APMM dan AADK melakukan pemeriksaan ke atas kru bot nelayan di sekitar perairan Mersing semalam.

MERSING – Seorang awak-awak bot nelayan ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam operasi dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar perairan Mersing semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 8.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan pasukan operasi dari kedua-dua agensi berjaya memeriksa enam buah bot nelayan tempatan termasuk sebuah bot memancing ikan beserta kru.

“Dalam pemeriksaan mendapati, seorang kru vesel warga tempatan didapati positif dadah setelah melalui ujian saringan sebelum diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut.

“Operasi bersama ini melibatkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 31 dengan kekuatan seramai 12 anggota dari pegawai Zon Maritim Mersing serta pegawai dari AADK daerah Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi itu bertujuan mencegah dan membasmi sebarang kegiatan jenayah terutamanya aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim setempat.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan operasi itu bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain dari semasa ke semasa dalam mencegah salah laku jenayah di zon maritim Malaysia khususnya di perairan Mersing.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI