SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi semua agensi bersiap siaga sepenuhnya memastikan tiada insiden masalah sumber air yang menjejaskan bekalan kepada pengguna ketika sambutan Aidilfitri kali ini.
Kesiapsiagaan itu meliputi penugasan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh negeri ini
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihaknya mahu mengelak insiden yang memberi impak kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) sekali gus memberi kesan kepada bekalan air terawat.
Katanya, Ops Sumber Air 24 jam oleh LUAS antaranya terus dipertingkatkan di musim perayaan ini supaya masalah kualiti sumber air dicegah dan diambil tindakan segera.
“Pemantauan akan melibatkan kawasan lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang meliputi rondaan serta pemantauan statik.
“Ia dilakukan di lokasi strategik dan titik panas yang dikenal pasti berisiko dan berpotensi memberi impak kepada sumber air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Loy Sian, kerajaan negeri Selangor turut bersiap-siaga dengan pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) sedia ada.
Ini merangkumi komponen sumber air tambahan daripada HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.
“Selain itu, ia melibatkan projek rawatan biologikal/bio-remediation yang sedang dilaksanakan di Sungai Gong dan Sungai Sembah,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk pemain industri, dan pemilik premis tidak mengambil mudah pengurusan sisa yang dihasilkan daripada aktiviti harian.
“Pengurusan sisa terutama musim perayaan perlu diurus dengan baik supaya tidak memberi kesan kepada sumber air dan menjejaskan bekalan air.
“Air sisa yang dihasilkan perlu disalurkan melalui sistem ditetapkan seperti kolam rawatan atau kumbahan dan bukan dilepaskan terus ke dalam longkang, parit dan sungai,” katanya.-KOSMO! ONLINE