IPOH – Ketua-ketua balai bomba bersama wakil-wakil penduduk di negeri ini diseru untuk menubuhkan lebih banyak pasukan bomba komuniti di kawasan kampung dan perumahan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan semua penduduk terlibat diberi pendedahan awal mengenai bantuan-bantuan kecemasan ketika berlakunya suatu insiden.
“Ini dapat memberikan pendedahan awal bagi bentuk bantuan kecemasan sebelum kehadiran pasukan bomba dan pasukan penyelamat yang lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan bersama pengusaha-pengusaha hotel anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini.
Pada masa sama, beliau berkata, semua agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela yang lain perlu bekerjasama bagi menyediakan sistem pengurusan bencana.
Selain itu, katanya, semua pihak terbabit juga perlu mengadakan latihan bersama agar dapat bergerak seiring dengan skop tugas kerja masing-masing.
Jelasnya, ini kerana cuaca dan faktor alam pada ketika ini banyak yang berlaku di luar jangkaan semua pihak.
“Oleh itu, semua agensi penyelamat mesti bersiap siaga pada bila-bila masa diperlukan sama ada dari bentuk keanggotaan mahupun kelengkapan logistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE