PUTRAJAYA – Terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti selama 35 tahun dalam Kementerian Kesihatan (KKM).
Itu penghargaan diberikan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib Jumaat ini.
Dr. Zaliha berkata, terlalu banyak penglibatan dan pencapaian Dr. Noor Hisham dalam sektor perubatan sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global.
“Tempoh 35 tahun perkhidmatan yang begitu bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia agar setanding dengan negara luar dan saya percaya khidmat beliau tidak terhenti di sini bahkan khidmat tersebut masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.
“Saya mewakili Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan Selamat Bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih Dr. Noor Hisham,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Majlis meraikan persaraaan Dr. Noor Hisham berlangsung di Ibu Pejabat KKM semalam.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham menerusi hantaran di Facebook hari ini turut berkongsi beberapa rangkap pantun sempena persaraannya.
“Kapal layar kemudi cermat, bijak nakhoda melawan gelora, 35 tahun setia berkhidmat, tiba detiknya waktu bersara.
“Langit dan mega luas terbentang, kadangnya cerah yang gelap menanti teruskan berjasa pimpinan mendatang, yang patah tumbuh yang hilang berganti,” katanya.
Difahamkan, Dr. Noor Hisham dijangka mengetip perakam waktu (clock out) terakhir di pejabatnya petang ini. – KOSMO! ONLINE