LANGKAWI – Penduduk di pulau peranginan terkenal ini terkejut apabila ribuan bronok ditemui terdampar di Sungai Melaka berdekatan Pasar Awam Padang Matsirat di sini, semasa air surut kelmarin.
Tinjauan mendapati, spesies hidupan laut seakan-akan gamat atau timun laut tersebut hampir memenuhi sungai sepanjang kira-kira satu kilometer serta meliputi dasar sungai yang cetek.
Kebanyakan bronok berkenaan didapati telah mati dan sebahagian lagi dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.
Seorang penduduk, Mad Nadzri Mahmud, 45, berkata, ini adalah kejadian pertama pernah dilihatnya sejak 20 tahun mencari bronok sebagai sumber pendapatan.
“Biasanya bronok ditemui di pesisiran Pantai Kuala Muda yang berselut, bukannya di kawasan air tawar seperti di sungai ini.
“Bagaimanapun, kali ini arus dari laut menolak selut dan bronok tersebut sehingga hampir ke Pasar Awam Padang Matsirat yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari pantai,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, dia bagaimanapun tidak mengutip bronok tersebut untuk dimakan atau dijual kerana risau akan mengancam kesihatan.
“Saya cari bronok untuk dijual kepada peniaga restoran yang menjadikannya sebagai hidangan kerabu,” ujarnya.
Menurut Mad Nadzri, dia biasa mendengar pesanan orang tua yang menyatakan fenomena aneh seperti itu biasanya menandakan sesuatu yang buruk akan terjadi.
“Semasa tsunami melanda Langkawi pada 2004, banyak hidupan laut naik ke darat seperti takutkan sesuatu dan itu dikatakan menjadi petanda yang tidak baik,” katanya.
Seorang pemancing, Ahmad Fazil Abdullah, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mahu keluar memancing kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
“Terkejut juga kerana saya tidak pernah lihat kejadian seperti ini berlaku kerana biasanya hidupan laut ini terdampar di kawasan pesisiran pantai berselut,” ujarnya.