Esok tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang, 20 April dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidilfitri pula diumumkan pada malam berkenaan.
Umat Islam di negara ini bakal menyambut hari raya pertama sama ada pada Jumaat atau Sabtu ini, namun ramai pihak meramalkan raya pertama jatuh pada Sabtu.
Pastinya ramai telah membuat persiapan lengkap membeli pakaian raya. Bahan mentah untuk menyediakan juadah raya pula akan dibeli lebih awal esok bagi mengelakkan kelam-kabut jika berlaku raya mengejut seperti tahun lalu.
Sekiranya kita menyambut hari raya pertama pada Sabtu ini, maka genap 30 hari berpuasa sepanjang Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosa-dosanya terdahulu.”
Selain berpeluang mendapatkan kerahmatan dan pahala berganda, sepanjang sebulan menahan lapar serta dahaga, tahap kesihatan juga akan bertambah baik.
Dari segi perubatan, berpuasa memberi banyak manfaat kepada tubuh badan terutamanya dapat merehatkan sistem penghadaman setelah 11 bulan bekerja.
Puasa juga adalah kaedah terbaik untuk mereka yang obes menurunkan berat badan dan pastinya setelah sebulan berpuasa, ada yang hilang berat sehingga lima kilogram.
Baju yang dahulunya ketat dan sendat, kini boleh dipakai semula, malah lubang tali pinggang pun perlu ditebuk baharu kerana seluar telah longgar.
Selain itu, ramai yang berpenyakit juga dapat menurunkan paras kolestrol, tekanan darah tinggi dan merendahkan kandungan gula dalam darah mereka.
Bagaimanapun, perkara yang dibimbangi adalah kurus di bulan Ramadan sahaja, tetapi kembali gemuk pada hari raya. Untuk kurus mengambil masa lama, namun untuk menjadi gemuk semula tidak sampai 10 hari pada bulan Syawal.
Lemang, ketupat, rendang, nasi impit, sate, lontong, soto, laksa, sup tulang dan pelbagai kuih raya menarik menanti kita semua pada hari raya ini.
Semua juadah raya ini pastinya tidak akan dilepaskan untuk dinikmati sepuas-puasnya seperti ‘membalas dendam’ setelah sebulan berpuasa. Ramai yang terlupa banyak menu yang ditelan itu mempunya tinggi kalori, kolesterol dan gula.
Obes atau gemuk selepas Ramadan bagaikan sudah menjadi satu trend dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Tidak salah untuk makan semua juadah raya tersebut, tetapi janganlah berlebihan sehingga perut sudah tidak muat dengan makanan pun tetap ditelan juga.
Harus diingat, apa yang dihadam hari ini menjadi penentu penyakit di masa hadapan. Jika suka makanan berlemak, kita seolah-olah ‘menternak’ kolesterol jahat dalam badan.
Begitu juga sekiranya gemar makanan dan minuman manis-manis, akhirnya diabetes pun hinggap dalam badan. Jadi, beringat-ingatlah dulu sebelum menyesal di kemudian hari.