fbpx

Pengemis bertambah hujung Ramadan, mahu cari duit raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN di hadapan Masjid Kapitan Keling George Town yang dibanjiri ‘pengemis’ Ramadan kelmarin.

GEORGE TOWN – Jika sebelum ini, pekarangan luar Masjid Kapitan Keling di sini, dibanjiri 50 pengemis bermusim, kelmarin muncul kira-kira 300 ‘pengemis’ di lokasi berkenaan sehingga selesai solat subuh.

Bukan sahaja masyarakat setempat yang sanggup mengheret anak-anak ‘berumah tangga’ di sepanjang kaki lima masjid itu, malah individu dari luar Pulau Pinang termasuk Kedah turut ‘berkampung’ di masjid berkenaan seawal pukul 7 malam.

Semuanya berikutan tradisi sambutan malam 27 Ramadan anjuran pengurusan masjid yang menyaksikan jemaah dari seluruh daerah termasuk luar Pulau Pinang hadir mengimarahkan masjid berkenaan.

Kumpulan ini berkumpul di luar masjid bagi mendapatkan duit raya yang dihulur para jemaah
selepas selesai program inmarah masjid dan ada antara mereka berjaya mengumpul sehingga RM200.

Seorang petani dari Tikam Batu, Kedah dikenali Aishah, 68, berkata, dia dan empat rakannya tidak pernah ke­tinggalan untuk hadir ke masjid itu setiap kali malam 27 Ramadan.

“Memang dari zaman tok nenek kami dibawa ke sini (Masjid Kapitan Keling) dan kali ini, kami mai (datang) sendiri.

“Kami datang sini untuk kutip duit raya, bolehlah dapat sampai RM200 satu malam. Orang yang sembahyang di masjid akan ­keluar hulur duit selepas habis solat tarawih,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah dari Kedah dikenali sebagai Makcik Biah, 65, berkata, duit hasil kutipan sedekah yang diperolehnya itu akan dibelanjakan sebagai persiapan Aidilfitri dan selebihnya dijadikan duit raya kepada kanak-kanak yang bertandang ke rumah.

“Kami bermalam di sini hanya sehari sahaja semata-mata untuk kutip duit raya. Kebanyakan kami sudah mengenali antara satu sama lain dan berjanji bertemu semula di sini tahun depan.

“Anak-anak tidak tahu saya ke sini. Mereka semua bekerja di luar dan belum pulang ke rumah sambut raya lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, penoreh getah, Ahmad, 57, berkata, dia dibawa oleh anak saudaranya datang ke masjid itu dengan menaiki motosikal.

“Siapa nak bagi kita RM300 semalam tanpa buat apa-apa kerja. Di sini, memang tidak akan balik dengan tangan kosong.

“Duit upah toreh getah pun tidak boleh dapat sebanyak ini jika dalam sehari. Lebih baik mai (datang) sini, setiap lima minit orang mai hulur duit,” katanya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan kehadiran lebih 50 pengemis bermusim duduk di kaki lima premis di Jalan Masjid Kapitan Keling pada malam hujung minggu sejak awal Ramadan lalu untuk menagih simpati daripada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI