fbpx

Mahkamah: Pampasan RM5 juta, keluarga Altantuya kemuka rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Altantuya Shaariibu

PUTRAJAYA – Tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi RM5 juta yang diperoleh dalam kes saman berhubung kematian bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, keluarga wanita itu telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini.

Menurut peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga terbabit, rayuan tersebut telah difailkan pada Januari lalu dan pengurusan kes rayuan terbabit ditetapkan pada 13 Jun ini.

“Kami mengambil pendirian bahawa RM5 juta tidak memadai berdasarkan fakta kes ini. Isu berapa jumlah (yang sesuai) akan dihujahkan masa bicara nanti,” kata peguam itu ketika dihubungi media.

Sementara itu pada tarikh pengurusan kes itu nanti, rayuan oleh dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; peguam dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia selaku defendan akan turut disebut.

Pada 16 Disember tahun lalu, keluarga Altantuya menang dalam saman kematian wanita itu apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia membayar RM5juta sebagai ganti am dan teladan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.

Mahkamah berpendapat, jumlah ganti rugi RM5juta disifatkan adil dan memadai berbanding RM100 juta yang difailkan tersebut yang disifatkan adalah berlebihan dan tidak boleh ditakfrifkan berdasarkan prinsip sahaja.

Sebelum ini bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.

Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI