fbpx

LLM jangka kenderaan meningkat 2.3 juta sehari sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama berlaku berperingkat bermula hari ini hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri nanti.

LLM dalam satu kenyataan berkata, jumlah peningkatan trafik itu berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

“Bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, LLM mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut.

“Antaranya, mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 7 Mei ini,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, Syarikat Konsesi juga diminta untuk mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya utama berkenaan untuk membantu mereka merancang perjalanan, serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).

“Syarikat konsesi lebuh raya juga diminta menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna dalam memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa, di samping memastikan sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar selain penambahan lorong tol di kawasan dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.

“Penggunaan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi yang dikenal pasti di PLUS supaya aliran trafik lebih lancar terutamanya di kawasan hot spot kesesakan dan kawasan mendaki dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, LLM juga memaklumkan akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, selain menyediakan kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2.

“Bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, kad Touch n’ Go atau SmartTAG perlu disentuh di plaza tol manakala pengguna Radio Frequency Identification (RFID) perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID.

“Selain itu, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 24 jam bermula 19 hingga 26 April bagi menyalurkan maklumat terkini kepada pengguna lebuh raya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI