LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya anak-anak buahnya telah mempamerkan ‘dimensi’ baharu apabila berjaya menewaskan Leeds United 6-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Elland Road awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Reds meraih kemenangan pertama dalam tempoh lebih sebulan hasil jaringan yang dilakukan oleh Cody Gakpo, Mohamed Salah (dua gol), Diogo Jota (dua gol) dan Darwin Nunez.
Kata Klopp, keputusan positif yang diraih itu sememangnya menaikkan lagi semangat anak-anak buahnya dalam usaha menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang sekali gus memburu kedudukan slot Liga Juara-Juara Eropah.
“Buat masa ini kita kekal di kedudukan kelapan, namun saya tidak tahu di mana kedudukan kita akan berakhir pada penghujung musim nanti. Cuma, apa yang pasti keputusan ini dapat melonjakkan lagi semangat pemain untuk berikan yang terbaik.
“Masih ada lapan perlawanan lagi yang perlu diharungi dan jika kita dapat merapatkan diri dengan kelompok pasukan di ranking teratas, ia mungkin sudah cukup baik tetapi pemain perlu kekalkan rentak konsisten,” katanya.
Sementara itu, pengendali import dari Jerman itu mengakui aksi bertemu Leeds adalah yang terbaik dipamerkan oleh pasukan musim ini dan jauh lebih bagus berbanding ketika menewaskan Manchester United 7-0 bulan lalu.
“Daripada pelbagai aspek, ini adalah perlawanan terbaik yang kita harungi musim ini kerana kita berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan selain memastikan tekanan dapat diberikan kepada skuad lawan secara berpasukan,” katanya. – AGENSI