fbpx

Liga Super: KDA FC tidak bersungguh untuk menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDA FC kini menduduki tangga kelima Liga Super ekoran prestasi yang tidak konsisten ketika ini. - Foto ihsan KDA FC

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan anak-anak buahnya gagal memberikan usaha mencukupi untuk memberi saingan ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) sehingga tewas di laman sendiri, semalam.

Menurut Nafuzi, anak-anak buahnya jelas memiliki kekurangan daripada segenap aspek untuk menyaingi KL City dalam perlawanan itu termasuk keyakinan, keberanian, kehendak dan nafsu untuk menang.

Malah katanya, KDA FC cukup bernasib baik untuk mendahului pasukan lawan pada separuh masa pertama perlawanan ketika KL City tampak menampilkan aksi lebih bagus berbanding mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, pemain-pemain KDA FC sendiri tidak cukup memberikan usaha untuk menang dengan KL City. 

“Kita semua tahu gaya permainan diterapkan Ketua Jurulatih mereka, Bojan Hodak dengan pasukan bimbingannya sentiasa menampilkan aksi bertahan serta serangan balas cukup ampuh dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Paul Josue terlebih dahulu membuka jaringan buat KL City pada minit ke-10 sebelum KDA FC membalas dengan dua gol pada minit ke-24 dan 29 menerusi Jonathan Balotelli serta pemain import tinggil lampai dari Serbia, Bojan Ciger.

KL City bagaimanapun bangkit pada babak kedua apabila mereka menjaringkan gol penyamaan seawal minit ke-48 menerusi pemain import dari Colombia, Romel Morales sebelum Herlison Caion De Souza memuktamadkan kemenangan buat pasukan warga kota dengan gol ketiga pada minit ke-75.

Kata Nafuzi, pemainnya tidak menampilkan usaha secukupnya untuk menyaingi pasukan lawan. 

“Memang kita nak menang dan mencuba dari awal hingga perlawanan berakhir tetapi saya fikir kami tak cukup bagus untuk malam ini (malam tadi).

“Kami bernasib baik mendahului 2-1 dalam separuh masa pertama tetapi gol penyamaan yang terlalu pantas selepas babak kedua bersambung, memberikan tekanan. 

“Gol ketiga KL City pula jelas disebabkan kesilapan individu dengan barisan pertahanan terlalu mudah melepaskan pemain lawan untuk melepaskan gol,” ujarnya.

Mengulas lanjut Nafuzi berkata, anak-anak buahnya gagal bertindak sebagai satu pasukan seperti dilakukan KL City sama ada ketika bertahan mahu pun melakukan serangan.

“Keserasian dan persefahaman antara satu sama lain itu kurang. Memang kami kecewa untuk kalah dengan cara begini.

“Kalau inilah prestasi yang dipamerkan, memang sukar untuk kami bersaing dengan pasukan-pasukan lain. Namun kita masih ada banyak perlawanan untuk dilalui dan bagi menghadapi semua itu, sesuatu harus dilakukan selepas ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan harapan agar para pemainnya dapat membina keyakinan diri bagi menampilkan aksi lebih bertenaga selepas ini.

“Dalam bola sepak, para pemain mungkin boleh diajar daripada segi teknikal dan taktikal untuk menghadapi lawan tetapi keyakinan diri adalah sesuatu yang tak boleh dibeli.

“Segalanya ada dalam diri masing-masing kerana apa yang penting adalah keberanian untuk menghadapi lawan. Pemain yang bagus perlu mampu untuk beraksi di bawah tekanan dan di situlah kekurangan kita sebenarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI