PONTIAN – Seorang nelayan yang keluar menangkap ikan dari awal pagi semalam di perairan Kukup Laut, dekat sini, dipercayai hilang kerana masih tidak pulang ke rumah seperti mana kebiasaannya.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, pihaknya telah menghantar 11 anggota bomba ke lokasi kejadian bersama sebuah FRT dan EMRS.
Katanya, setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di lokasi kejadian memang benar seorang lelaki berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Mohd. Hairuddin Khalid hilang ketika keluar menangkap ikan.
“PKO telah membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui jalan darat dari Jeti Air Masin ke kawasan Kampung Nelayan, Kukup Laut sejauh 500 meter tetapi tidak menemui mangsa dan disebabkan cuaca tidak mengizinkan, operasi telah ditangguhkan pada pukul 12 malam semalam dan gerakan mencari mangsa akan disambung semula 8 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE