BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand cedera parah selepas melindungi teman wanitanya daripada serangan asid yang dilakukan oleh bekas kekasih wanita tersebut, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku di rumah mangsa di daerah Si Maha Pho, wilayah tengah Prachin Buri pada tengah malam kelmarin.
Menurut teman wanita mangsa, Roongrat Towong, dia terdengar bunyi ketukan di pintu rumahnya pada tengah malam.
Dia dan teman lelakinya dikenali sebagai Saengpetch kemudian membuka pintu dan mendapati bekas kakasihnya, Thongkham Klomthong berada di luar.
Roongrat bertanya mengapa Thongkham datang ke rumahnya pada tengah malam tetapi dia berdiam diri. Secara tiba-tiba, suspek mengeluarkan secawan asid serta membuka penutupnya sebelum menyimbahnya ke arah Roongrat.
Saengpetch yang berdiri di sebelahnya segera melompat ke hadapan wanita itu untuk melindunginya daripada terkena asid. Ia mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di seluruh badan terutamanya pada bahagian mata.
Roongrat dalam masa sama turut cedera apabila muka dan bahagian badannya lain terkena cecair tersebut.
Thongkham melarikan diri dari tempat kejadian selepas serangan itu dan Roongrat bergegas ke tandas untuk membasuh tubuh yang terkena asid.
Saengpetch pula berlari keluar untuk meminta bantuan daripada jiran sebelum dia dirawat di sebuah hospital. – Agensi