KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 penumpang membanjiri Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sejak semalam untuk pulang ke destinasi masing-masing sempena cuti perayaan Aidilfitri.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, berikutan kepadatan orang ramai untuk pulang kampung, lebih 1,000 bas beroperasi dalam masa sehari ke semua destinasi di seluruh negara.
Menurut beliau, Ops Selamat dan Ops Lancar yang bermula pagi tadi berjalan baik dengan mengekalkan hanya 10 peratus anggota PDRM yang bercuti.
“Kira-kira 90 peratus anggota lagi akan jalankan tugas masing-masing supaya lebih sejuta penumpang yang dijangka berada atas jalan raya dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Saya juga nasihatkan kepada semua pemandu bas yang akan membuat perjalananan jauh agar sentiasa berhati-hati dan pastikan mereka dalam keadaan sihat.
“Mereka (pemandu) bertanggungjawab untuk membawa penumpang ke destinasi masing-masing. Bas perlu dipastikan dalam keadaan baik untuk bertahan dengan perjalanan yang jauh,” katanya dalam sidang akhbar Program High Profile Policing (HPP) di TBS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar memastikan rumah dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan.
Ujarnya, pihaknya mengalu-alukan orang awam untuk memaklumkan kepada polis tentang pergerakan mereka pulang ke kampung.
“Jika ada maklumat, mudah untuk polis hubungi jika ada sesuatu berlaku kepada rumah mereka. Beritahu juga pada rakan dan jiran terdekat agar pihak polis dapat bertindak pantas,” katanya. – KOSMO! ONLINE