fbpx

K2

Kepentingan fabrik selesa di hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baju kurung sering menjadi pilihan kaum Hawa untuk digayakan semasa Aidilfitri.

PEMAKAIAN baju tradisional seperti baju kurung, kebaya dan kebarung bagi wanita dan baju Melayu bagi lelaki, sering menjadi perhatian kaum Hawa serta Adam untuk dipakai dalam pelbagai acara terutamanya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha.

Malah, pakaian tradisional juga adalah satu bentuk busana yang melambangkan identiti penting dalam mempamerkan budaya serta sentiasa mengekspresikan penampilan dalam bentuk yang selesa dan malar segar.

Pada masa kini, pakaian tradisional juga mendapat sentuhan baharu daripada pereka fesyen tempatan bagi memberi sedikit kelainan kepada si pemakai.

Setiap penghasilan busana adalah melibatkan kebijaksanaan menilai serta menentukan ciri-ciri fabrik yang bersesuaian yang mana elemen asasnya seperti menjaga adab dan tertib si pemakai tidak boleh diketepikan.

Dalam masa sama, pemilihan kain seiring dengan perkembangan teknologi tekstil berupaya menjadikan si pemakai mempunyai banyak pilihan tetapi perlu lebih bijak menilai.

Fabrik memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan pakaian yang dipilih selesa saat dipakai sepanjang hari kerana ia merupakan permukaan ‘kulit kedua’ manusia.

Faktor cuaca di Malaysia yang panas dan hujan juga menjadi faktor penting dalam memilih fabrik serta jenis pakaian yang akan dihasilkan atau yang dibeli.

Pemilihan fabrik yang tepat perlu dititikberatkan agar ia memberi keselesaan sepanjang hari khususnya pada hari lebaran yang akan menjelang tiba.

Bagi cuaca di Malaysia, jenis fabrik selesa dan tidak panas iaitu fabrik yang berasaskan serat asli seperti kapas, sutera, linen, rayon dan viscose serta material campuran (regenerated fibers) amat sesuai jika dijadikan pakaian.

Pilihan materialnya haruslah yang lembut, tidak panas serta selesa walaupun dipakai sepanjang hari.

Pelbagai jenis fabrik yang berada di pasaran, namun perlu disesuaikan dengan tujuan kegunaannya serta kemampuan para pengguna.

Antara pemilihan fabrik yang berkualiti seperti chiffon, kain kapas bercorak dan polos, linen, brocade, como crepe, sutera, georgette, poliester, viscose dan sutera jacquard antara fabrik yang menjadi pilihan dan sesuai digayakan pada Aidilfitri oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Fabrik yang berkualiti dan mampu dimiliki seperti fabrik kapas, rayon dan como crepe memiliki ciri-ciri material yang lembut, ringan, tidak panas, mudah menyerap peluh, tidak melekap di badan dan selesa walaupun dipakai sepanjang hari.

Fabrik dianggap sebagai ‘kulit kedua’ manusia.

Ia mudah dibasuh serta dapat menjimatkan masa, oleh kerana fabrik ini mudah gosok terutamanya fabrik campuran kapas rayon dan como crepe.

Sementara itu, jika kain linen serta campuran cotton linen dipilih, ia mudah dibentuk tetapi mudah berkedut.

Bagi fabrik sutera pula, ia lebih mahal, tetapi lebih lembut, sejuk dan memaparkan ciri-ciri mewah apabila dipakai kerana karakter sutera adalah lebih licin, ringan, berkilau dan lembut.

Dengan menambah sutera untuk kain linen, pakaian tidak akan mudah kedut dan menjadikannya lebih lembut.

Selain daripada pemilihan fabrik yang tepat, potongan rekaan pakaian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan fabrik yang digunakan itu tampak menyerlah dan sesuai dengan gaya potongan pakaian tersebut.

Penggunaan fabrik daripada serat kapas sangat popular untuk digayakan pada hari lebaran dan ia tidak lapuk ditelan zaman kerana lebih selesa dalam cuaca panas serta gaya potongan pakaian yang lebih longgar.

Beberapa jenis potongan baju tradisional lain yang menjadi pilihan dahulu hingga sekarang adalah baju kebaya tradisional dan baju kurang Riau Pahang serta potongan baju tradisional yang dimodenkan mengikut cita rasa kini.

Untuk gaya yang lebih anggun, baju kebaya amat sesuai bagi semua golongan terutamanya anak muda. Busana ini akan kelihatan lebih kemas dan bergaya dengan baju yang dilengkapi dengan kain susun atur bahagian depan dan bahagian bawah baju yang sedikit kembang.

Bagi yang mememilih busana Muslimah atau modest wear, ia lebih labuh berserta longgar sekali gus memberi keselesaan kepada pemakainya serta kelihatan lebih bergaya dan eksklusif, tambahan pula apabila dihiasi rekaan corak serta perincian mewah dan mengikut trend terkini tetapi masih mengekalkan unsur tradisi.

Fabrik yang dipilih haruslah bersesuaian dengan bajet dan pengguna harus mengetahui penggunaan jumlah meter fabrik yang diperlukan mengikut rekaan pakaian yang akan dihasilkan.

Dengan cara ini dapat mengurangi kos pembelian fabrik secara berlebihan dan mengelakkan pembaziran berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI