fbpx

Guardiola anggap Bayern ‘berdrama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain The Citizens sangat bermotivasi untuk berkunjung Allianz Arena menentang Bayern pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara pada pagi Khamis ini. – AFP

MUNICH – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya insiden pergaduhan Leroy Sane dan Sadio Mane hanyalah ‘drama’ yang boleh menjadikan pa­sukan Bayern Munich lebih kuat menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.

Sebagai rekod, skuad The Citizens seperti meletakkan sebelah kaki di pentas separuh akhir susulan kemenangan bergaya 3-0 yang dicatat pada aksi suku akhir pertama minggu lepas.

Namun, pasukan Bayern dilanda kontroversi pada aksi tersebut selepas Mane didakwa menumbuk Sane di bilik persalinan kerana persilihan faham yang berlaku di atas padang.

Menurut Guardiola, insiden itu mungkin boleh membantu Bayern untuk tampil lebih garang dan bermaruah kerana ia me­nunjukkan barisan pemain pasukan lawan terdesak untuk memburu kemenangan.

“Saya tidak kisah jika ada barisan pemain bergaduh kerana anda perlukan sedikit konflik untuk memastikan pasukan kembali bersatu. Ia tidak menunjukkan Bayern itu pasukan yang lemah kerana situasi sebaliknya yang berlaku.

“Saya cukup kenal dengan Bayern dan saya tidak terkejut jika mereka dapat tampil lebih baik pada aksi kedua nanti. Secara peribadi, situasi yang sama boleh berlaku dalam pasukan City kerana semua pemain mahu berikan yang terbaik.

“Justeru, saya menyeru agar pasukan kekal berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan pasukan tuan rumah kerana kemenangan 3-0 masih belum memberikan sebarang makna buat kami.

“Mereka dijangka mempamerkan corak permainan agresif dan saya mahu pasukan untuk tampil lebih bijak di atas padang dalam usaha memburu slot ke separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, Guardiola mengakui kekal menaruh harapan kepada dua pemain terbaik pasukan, Erling Haaland dan Kevin de Bruyne untuk merobek gawang skuad The Bavaria nanti.

“Saya akan tetap membariskan kesebelasan terbaik dan berdasarkan prestasi semasa, tiada gandingan yang lebih bagus berbanding Haaland dan De Bruyne.

“Kedua-dua ini saling melengkapi kerana Haaland perlukan umpanan terbaik dan hanya De Bruyne yang boleh memberikan hantaran yang tepat kepadanya untuk meledak gol,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI