KOTA BHARU – Sambutan 1 Syawal tahun ini amat bermakna buat seorang buruh selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh seorang warga emas, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Nik Kamil Nik Soh, 42.
Roslan dalam hujahannya berkata, tiga elemen perlu dikemukakan pihak pendakwaan berkaitan kesalahan itu untuk membuktikan tertuduh terlibat dalam kes tersebut.
Menurutnya, elemen pertama adalah, si mati, Hamid Mat Salleh, 84, perlu dibuktikan dia adalah mangsa dan telah meninggal dunia.
“Keduanya, kematian Hamid disebabkan oleh kecederaan yang dialami manakala elemen ketiga iaitu tertuduh berniat untuk mendatangkan bencana tubuh terhadap si mati yang lazimnya menyebabkan kematian.
“Berdasarkan kepada penemuan-penemuan yang dikenal pasti, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen ketiga apabila tertuduh didakwa menggunakan cangkul sehingga menyebabkan kematian dan perkara itu menimbulkan keraguan memandangkan cangkul tersebut ditemui di tempat terbuka dan tidak disembunyikan oleh tertuduh,” katanya.
Menurut Roslan, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan apabila tiada saksi mata, tiada rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan tiada keterangan forensik untuk mengaitkan tertuduh terlibat secara langsung selain tiada kesan darah pada badan, pakaian, kuku atau rambut tertuduh walaupun ditangkap pada hari yang sama.
“Oleh yang demikian, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan tersebut,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Nik Kamil didakwa telah membunuh Hamid di sebuah rumah di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah kira-kira pukul 5 pagi pada 26 Januari 2019.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd. Jabar manakala tertuduh diwakili peguam, Azeezi Nordin.
Sementara itu, Nik Kamil ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kota Bharu berkata, dia amat bersyukur terhadap keputusan yang diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini.
“Alhamdulillah, saya dapat beraya dengan keluarga pada tahun ini selepas empat tahun tinggal dalam penjara tanpa keluarga di sisi. Saya tidak sabar untuk peluk dan cium ibu. Apabila pulang ke rumah di Kampung Chat Rimau, saya akan meminta maaf dengannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE