SEGAMAT – Seorang lelaki nekad melakukan cubaan bunuh diri selepas dia menyiram minyak petrol dan membakar dirinya sendiri di sebuah stesen minyak di Jalan Ibrahim di sini dua hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya telah menerima satu laporan polis menyatakan seorang lelaki telah menyiramkan minyak petrol pada tubuhnya serta membakar diri sendiri.
“Mangsa adalah seorang lelaki cina lingkungan umur 24 tahun telah menggunakan pemetik api selepas menyiram petrol ke atas dirinya di pam 3, stesen minyak berkenaan pada pukul 8 malam 17 April lalu.
“Pemilik premis stesen minyak tersebut telah berjaya memadamkan api dan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pemadam api. Namun begitu mangsa kemudiannya berlari ke arah Kilometer 185 Jalan Seremban – Johor Bahru dan cuba membunuh diri sekali lagi dengan cara duduk di tengah jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zamry berkata, pemandu lori yang melalui jalan tersebut berjaya menghentikan kenderaannya apabila nampak kelibat orang di tengah jalan.
Tambah beliau, malangnya sebuah kereta jenis proton wira dari arah belakang lori berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar di bahagian belakang lori sehingga berlaku kemalangan jalan raya.
“Mangsa dalam keadaan melecur 70 peratus seluruh badan telah dihantar ke hospital
Segamat menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan keterangan awal mangsa diperolehi mendapati punca cubaan bunuh diri disebabkan mangsa telah gagal melepasi ujian bachelor of law (ijazah undang-undang) buat kali ketiga.
“Mangsa berasa malu dikalangan ahli keluarganya lalu mengambil keputusan untuk bunuh diri. Namun, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti kesahihan maklumat tersebut,” jelasnya.
Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah seksyen 309 kanun keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai (1) tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE