KUALA LUMPUR – Sindiket kegiatan penipuan pelaburan mata wang kripto akhirnya tumpas apabila 34 individu dicekup di sebuah premis kediaman, di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.
Kesemua ahli sindiket ini disyaki menawarkan pelaburan mata wang kripto menggunakan platform ‘Multi Level Marketing’ secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa kemudiannya diminta memuat turun aplikasi melalui pautan diberi oleh sindiket bagi tujuan pelaburan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman membuat serbuan di premis tersebut yang beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Seramai 34 individu ditahan terdiri daripada 24 warga tempatan, lapan warganegara China, seorang warganegara Filipina dan seorang warganegara Indonesia berusia lingkungan 21 tahun hingga 68 tahun.
“Kesemua ahli berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pengurus dengan tawaran gaji sebanyak RM2,500 hingga RM15,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas tujuh unit komputer, tujuh unit komputer riba, tujuh unit Ipad dan 49 unit telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kegiatan sindiket penipuan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Ashari turut menasihati orang ramai agar jangan mudah percaya dengan tawaran dari mana-mana pihak yang tidak dikenali.
“Sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang aplikasi atau fail daripada sumber yang tidak sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE