GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menjangka kira-kira tiga juta kenderaan akan membanjiri negeri ini sepanjang lapan hari Op Selamat 20 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula esok sehingga 27 April ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diharap lebih berhati-hati serta bersabar bagi mengelak sebarang kemalangan ketika berlakunya kesesakan.
“Kadar lalu lintas di Pulau Pinang mencecah 2.1 juta dalam tempoh seminggu, dan ia mencecah 2.2 juta minggu lalu.
“Oleh itu, kita anggarkan sepanjang Op Selamat pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, jumlah kenderaan yang memasuki Pulau Pinang mencecah tiga juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 292 orang pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam Op Selamat.
“Di samping itu, JSPT turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) kontinjen bagi kempen rumah selamat dan pengecahan jenayah serta agensi penguatkuasa yang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beritahunya lagi, JSPT Pulau Pinang menjangka kesesakan akan berlaku di sekitar negeri ini dan terdapat beberapa jalan-jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan dan juga kawasan panas kes kemalangan.
Sementara itu jelasnya, pihak polis turut mengesan enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya sehingga menyumbang kepada berlakunya kemalangan seperti memandu melebihi had laju yang dibenarkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memotong garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu. – KOSMO! ONLINE