fbpx

Yayasan Ikhlas mahu bantu 25,000 orang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eksekutif Kanan Operasi YI, Bangi, Muhammad Afifuddin Ramli (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada asnaf menyerahkan sumbangan kepada wakil asnaf baru-baru ini.

PETALING JAYA – Projek Kasih  Ramadan anjuran Yayasan Ikhlas (YI) yang telah mula beroperasi sejak tahun 2014 telah memberi manfaat kepada 15,691 penerima bantuan yang terdiri daripada golongan anak yatim, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit.

Bantuan yang diterima berupa pek barangan asas keperluan, tajaan sahur dan juga berbuka puasa.

Pengerusinya, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin berkata, sasaran penerima sumbangan pada tahun ini adalah sebanyak 25,000 orang.

“Tiga bantuan disalurkan termasuk  kotak makanan mengandungi barang keperluan harian bernilai RM100 bagi setiap keluarga. Ia termasuklah sekampit beras, sepaket bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, kicap, sos cili, kordial berperisa dan sekotak kurma.

“Sumbangan lain adalah pek iftar dan sahur yang siap dimasak diagihkan kepada anak yatim dan keluarga asnaf. 

“Turut disumbangkan adalah set kelengkapan raya bernilai RM200 seperti baju, biskut dan sumbangan duit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Zainur berkata, mungkin nilai yang diagih agak kecil di mata masyarakat tetapi pastinya ia sangat bermakna buat kumpulan yang memerlukan.

YI, sebuah badan bukan kerajaan yang mula beroperasi sejak tahun Mac 2009  berpaksikan kepada empat teras iaitu komuniti, pendidikan, kesihatan dan pengurusan bencana.

Selain membantu golongan anak yatim, OKU, fakir dan mereka yang dilanda musibah, yayasan yang ditubuhkan mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) itu turut menawarkan biasiswa atau insentif kepada individu mahupun berkumpulan  bagi kerja pelajaran dan pendidikan di Malaysia.

Sehingga kini,  YI telah membantu seramai 385,904 orang telah menerima manfaat dan bantuan yang disalurkan.

Mereka yang dibantu termasuklah pesakit Covid-19, anak yatim, masyarakat pedalaman berbilang kaum dan agama di semenanjung termasuk Sabah serta Sarawak, pesakit Cerebral Palsy, mangsa kebakaran, mangsa banjir, pelajar universiti, bekas atlet, bekas wartawan dan ramai lagi.

Projek YI rata-ratanya digerakkan menerusi 5,783 sukarelawan berdaftar di lapan cawangan negeri termasuk di Ipoh (Perak), Kuching (Sarawak), Sandakan, Semporna dan Kota Kinabalu (Sabah), Bangi (Selangor), Alor Setar (Kedah) selain Johor Bahru.

“Menariknya, YI turut menubuhkan Civil Defence Emergency  Response Team (CDERT) di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak 2019. CDERT YI turut melaksanakan Psychological First Aid (PFA) dengan pelaksanaan Modul Kit Emosi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

“Kami  berjaya memasuki sekitar 42 kawasan bencana banjir membabitkan aktiviti PFA selain pembersihan rumah mangsa banjir, mengagihkan dapur memasak dan sumbangan barangan kepada mangsa banjir,” jelas beliau. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI