IPOH – Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 10.4 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM400,000 dalam serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya dekat Bercham di sini semalam.
Lelaki berusia 40, 58 dan 61 tahun dipercayai pengedar dadah itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 2.20 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta dinaiki salah seorang suspek menjumpai satu guni plastik di dalamnya berisi 10 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine.
Katanya, siasatan mendapati bekalan dadah itu diperolehi daripada seorang lelaki warga asing di utara negara.
“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 20,000 orang penagih dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 58 tahun positif dadah jenis methamphetamine. Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta dianggarkan bernilai RM12,000 dan wang tunai RM2,200. – KOSMO! ONLINE