NEW DELHI – Sepasang suami isteri di India memenggal kepala mereka secara serentak menggunakan alat pemenggal buatan sendiri dalam insiden dipercayai sebagai ritual korban, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Menurut polis, alat pemenggal tersebut diletakkan pada kedudukan yang membolehkan kepala yang putus bergolek lalu terus memasuki altar api.
Hemubhai Makwana, 38 dan isterinya, Hansaben Makwana, 35, melakukan perbuatan itu antara Sabtu hingga Ahad lalu di sebuah kampung di daerah Rajkot, negeri Gujarat.
“Pasangan itu pada awalnya menyediakan altar api sebelum meletakkan kepala mereka di bawah alat pemenggal yang diikat dengan tali.
“Sebaik sahaja melepaskan tali, bilah besi jatuh ke atas mereka lalu memenggal kepala yang kemudiannya bergolek jatuh ke dalam api,” kata sub inspektor polis Vinchhiya, Indrajitsinh Jadeja.
Kedua-dua anak mangsa yang berusia 12 dan 13 tahun menemui mayat ibu bapa mereka dalam keadaan tidak berkepala sejurus pulang ke rumah selepas melawat bapa saudara di sebuah kampung berdekatan.
Menurut pihak berkuasa, polis turut menemui nota yang menyatakan bahawa pasangan itu membunuh diri secara sukarela dan tiada sesiapa perlu dipersalahkan atas kematian mereka, lapor laman berita Times of India.
Nota tersebut turut meminta ahli keluarga yang lain menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua dan dua anak mereka yang menjadi yatim piatu.
Indrajitsinh berkata, anggota penyiasat merakam kenyataan saudara kedua-dua mangsa dan cuba mengenal pasti sama ada tindakan itu berkaitan dengan amalan sihir.
Sepupu Hansaben, Jayanti Jatapara berkata, pasangan suami isteri itu tidak mengalami sebarang masalah kewangan atau hubungan sebelum kematian mereka.
Kes itu disiasat sebagai kematian mengejut manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa untuk menjalani bedah siasat. – Agensi