fbpx

K2

Santuni gelandangan Chow Kit di malam Nuzul Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI-AHLI G20 Goldwing Malaysia mengadakan program penyampaian sumbangan di Chow Kit baru-baru ini.

BULAN Ramadan yang mulia menjanjikan pahala berganda bagi insan yang melakukan kerja kebajikan seperti bersedekah dan membantu golongan memerlukan dengan apa cara sekalipun.

Bagi mencapai objektif tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) permotoran, G20 Goldwing Malaysia menyantuni golongan gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur pada malam 17 Ramadan lalu.

Program yang mengambil keberkatan hari turunnya mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, al-Quran itu melibatkan lebih 20 ahli NGO tersebut bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.

Menurut Presiden G20 Goldwing Malaysia, Datuk Sulaiman Sami’an, beliau bersama ahli-ahli hadir menghulurkan sumbangan kepada lebih 200 golongan tersebut.

“Pada malam Ramadan yang penuh keberkatan, saya bersama kumpulan ahli G20 Goldwing Malaysia turun ke sini menghulurkan sumbangan seperti makanan untuk bersahur di samping sumbangan alat tulis untuk anak-anak mereka.

“Sumbangan alat tulis adalah bagi menggalakkan anak-anak gelandangan terus belajar dan belajar. Kita mahu anak-anak ini merubah nasib keluarga mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau dan ahli-ahli menyampaikan sumbangan dengan mengagihkan barangan makanan dan alat tulis yang dibawa menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda.

Sulaiman memberikan sumbangan makanan dan alat tulis kepada anak-anak gelandangan Chow KIt, Kuala Lumpur sebagai motivasi meneruskan pelajaran.

Sulaiman yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Superbike Malaysia (SAM) juga memberitahu, pada malam tersebut, pihaknya turut mengadakan program berbuka puasa dan solat tarawih bersama ahli dan anggota

keluarga mereka sebelum meneruskan program ke kawasan tersebut.

“Malam ini kita padat dengan program mengimarahkan bulan Ramadan dengan bersolat tarawih berjemaah serta berbuka puasa bersama ahli dalam program Iftar Santai Ramadan di Bangi.

“Semoga ikatan ukhuwah sesama ahli terus mantap bagi membantu golongan yang memerlukan di mana sahaja, di samping kita berkongsi rezeki yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti persatuan motosikal berkuasa tinggi tersebut, pihaknya dari semasa ke semasa mengadakan program bersama komuniti yang menggunakan jalan raya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah mengadakan program kebajikan pemberian topi keledar standard kepada penunggang Grab dan pengguna jalan raya supaya mereka menunggang dengan berhemah selaras peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

Katanya lagi, program sebegini diadakan bagi memastikan golongan tersebut dapat menjalankan tugas murni mereka mencari rezeki dengan lebih selamat.

“Bila berada di jalan raya pelbagai perkara yang mengancam keselamatan boleh berlaku kepada mereka.

“Saya berharap dengan pemberian topi keledar standard kepada penunggang Grab ini mereka terlindung secara fizikal daripada risiko kecederaan yang lebih serius,” katanya.

Beliau memberitahu, tidak lama lagi pihaknya turut akan mengadakan program sumbangan topi keledar standard kepada orang ramai di kawasan terpilih.

Tambahnya, program itu penting kerana pengguna jalan raya ada kalanya tidak mengikat topi keledar dengan betul ibarat melepas batuk di tangga.

“Kita akan beri nasihat kepada pengguna jalan raya ini agar gunakan topi keledar standard, mematuhi undang-undang jalan raya dan pakai topi keledar dengan betul bukan sekadar ada semata-mata,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI