fbpx

Ramai mahasiswa merungut sewa rumah mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sara Chinnasamy (kiri) dan Pengerusi yayasan itu, Puvaniten Helan Govan (tengah) menyantuni pelajar PSA OKU pada program itu di Klang, semalam.

KLANG – Yayasan Kita Anak Malaysia komited dalam membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang menghadapi masalah peningkatan kos sewa rumah sehingga 30 peratus ketika ini.

Lembaga Pengarah yayasan itu, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, pihaknya menerima banyak rungutan penuntut yang menetap di Shah Alam dan daerah ini mengenai kenaikan sewa mendadak selepas sesi pengajaran dan pembelajaran kembali dilakukan secara bersemuka.

Katanya, isu utama yang masih membelenggu golongan itu berkaitan ketidakupayaan menyewa rumah dengan kos bulanan tinggi.

“Pemerhatian kami mendapati kos sewaan rumah terutama di bandar termasuk kediaman bertingkat ketika ini kebanyakannya lebih RM1,500 sebulan.

“Keadaan itu jelas membebankan pelajar terutama kelompok B40 yang turut berdepan kos sara hidup tinggi sekali gus bakal merencatkan pembelajaran mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jalinan Kasih anjuran yayasan itu di sini, malam tadi.

Pada program itu, seramai 200 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL), pelajar orang kelainan upaya (OKU) serta anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira 1.3 juta daripada lebih tiga juta pelajar IPT di seluruh negara terpaksa melakukan kerja sambilan semata-mata untuk menampung keperluan hidup selain bagi tujuan membayar sewa rumah.

Jelas Sara, lebih 200 mahasiswa telah dibantu dari segi penyelesaian isu rumah sewa sejak empat tahun lalu sama ada menerusi sumbangan kewangan dan perbincangan serta pencarian rumah dengan kos munasabah dan tidak terlalu mahal.

Tambahnya, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan IPT bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah berkenaan secara berterusan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI