KUCHING – Sebanyak 8,785 kotak mercun dan bunga api dirampas menerusi serbuan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di tiga premis iaitu dua di Kuching dan satu di Padawan, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata rampasan dibuat setelah ketiga-tiga premis itu didapati tidak memiliki sebarang lesen atau permit menyimpan dan menjual mercun serta bunga api yang sah.
Katanya rampasan pertama dilakukan di Daerah Kuching kira-kira pukul 3.30 petang, hasil serbuan ke atas sebuah premis di Satok.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah merampas sebanyak 5,706 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang diletakkan di bahagian belakang premis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Katanya seorang wanita berumur 37 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.
Mohd. Azman berkata, tangkapan kedua juga dilakukan di Kuching kira-kira pukul 4 petang, menerusi serbuan yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sebuah premis di Jalan Rubber.
Katanya, sebanyak 3,033 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dirampas dalam serbuan itu dan turut menahan dua lelaki berumur 47 dan 61 tahun.
Di Padawan pula, beliau berkata rampasan dilakukan oleh Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa yang menjalankan serbuan di sebuah premis di Batu 5, Jalan Penrissen kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori menjumpai sebanyak 46 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis di bahagian belakang lori berkenaan,” katanya.
Katanya seorang lelaki berusia 49 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen dan permit penyimpanan serta pemilikan yang sah ke atas semua mercun dan bunga api itu. – KOSMO! ONLINE