KUALA LUMPUR – Disangkakan tamat namun kemarau masih berpanjangan. Itu dapat disimpulkan mengenai kegagalan prosiding lafaz cerai pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah, hari ini.
Tampil menjelaskan punca utama yang menghalang proses perceraian yang pada asalnya telah dipersetujui, kata Sarah perkara tersebut berlaku akibat tuntutan mutaah dan pengurangan bayaran nafkah anak yang tidak dipersetujui.
Jelas Sarah, permintaan Syamsul mengurangkan bayaran nafkah anak-anak sebanyak 30 peratus dan mutaah sebanyak 80 peratus adalah melampau.
Lebih membuatkan pelakon drama Andai Itu Takdirnya naik berang, Syamsul juga meminta agar saman terhadap Ira Kazar dan keluarga ditarik balik.
“Hari ini dia mahu nafkah anak dikurangkan sebanyak 30 peratus manakala mutaah pula sebanyak 80 peratus serta meminta menarik balik saman terhadap keluarga Kazar, memang melampau.
“Sekarang saya hanya akan berjuang untuk hak anak-anak dan tuntutan saya minta tidak sampai jutaan ringgit,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu juga bertegas untuk tidak menarik balik kes saman terhadap keluarga Kazar berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, bapanya yang juga pelakon, Kazar Saisi serta kakaknya.
“Ada beberapa perkara saya tidak setuju apabila dia meminta tarik kes terhadap keluarga Kazar.
“Saya tidak akan tarik balik kes kerana untuk apa saya berjuang selama ini?
“Syarat dia untuk lepaskan saya adalah menarik balik kes keluarga Kazar yang sememangnya kami tidak akan buat,” ujarnya.
Sebelum ini, pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Ibu kepada dua anak itu dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Pada 10 April lalu, Syamsul bersetuju untuk bercerai secara baik hasil pertemuan dengan Puteri Sarah malam sebelum perbicaraan.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.- KOSMO! ONLINE