SEREMBAN – Seorang penyelia sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan mendapatkan kelulusan kerajaan bagi pengambilan pekerja asing sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, A. Gunasegaran, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 71 tahun bahawa tertuduh akan mendapatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pengambilan pekerja asing.
Oleh itu, tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa memasukkan wang yang keseluruhannya berjumlah RM185,932 ke dalam tiga akaun bank milik tertuduh yang mana dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Lukut dalam daerah Port Dickson pada Januari 2018 hingga 5 Ogos tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam, V. Segaran.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Kes disebut semula pada 12 Jun ini. – KOSMO! ONLINE