fbpx

[VIDEO] Michelle Yeoh akui sunyi di negara orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michelle bertemu media dan para peminat Malaysia di ibu negara hari ini dengan membawa pulang trofi Oscar buat tatapan umum. - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Lebih 24 jam pulang dan berada di tanah air, pelakon kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mendedahkan sudah menikmati juadah ikonik negara, nasi lemak.

Michelle atau nama sebenarnya, Michelle Yeoh Choo Kheng ketika ditemui media tempatan di Hotel Pavilion sebentar tadi berkata, dia juga sudah menikmati juadah dirindui lain seperti ayam ‘nga choy kai’.

“Saya dah makan laksa kari, nasi lemak dan nga choy kai. Hor fun juga saya dah nikmati di sini.

“Sebab itu, sekarang saya dah gemuk sedikit,” katanya berseloroh.

Ditanya tentang perasaan dapat pulang ke Malaysia bersama trofi Oscar, Michelle, 61, memaklumkan bahawa emosinya sukar digambar dengan kata-kata.

Sungguhpun begitu, anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, kejayaan yang diraihnya di Hollywood tidak akan menjadi nyata tanpa sokongan tidak berbelah-bahagi orang Malaysia.

Beliau tidak menafikan mencari rezeki di negara luar membuatkan dirinya sunyi kebanyakan masa namun itu adalah antara perkara yang terpaksa dikorbankan demi menggapai kejayaan gemilang.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kalian semua kerana sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan ini.

“Saya dapat rasakan sokongan kalian semua. Satu perjalanan yang sukar sebenarnya. Kadang-kadang, saya rasa sunyi dan rasa bimbang sebab berada di negara orang.

“Tiada siapa antara kita yang pernah tercalon (dalam Oscar) sebelum ini dan tiada siapa pernah merasai perasaan berada di posisi itu.

“Saya sangat bersyukur. Saya dengar kalian semua berteriak memberi sokongan tempoh hari di sini. Bayangkan apa akan jadi, kalau saya tak menang hari itu,” katanya.

Terdahulu, Michelle menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya menggondol trofi Oscar apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards ke-95, Mac lalu.

Minggu lalu, pemain karakter Evelyn Wong dalam filem Everything Everywhere All at Once itu pulang ke negeri kelahirannya, Ipoh, Perak dan mengotakan janjinya membawa pulang trofi Oscar ke Malaysia.

Michelle menerusi hantaran Instagram juga menunjukkan ibu tercinta, Datin Janet Yeoh sedang memegang trofi Oscar bersalut emas 24 karat dimenanginya.

Menerusi gambar lain, bintang mega berusia 61 tahun itu turut dilihat membawa trofi berprestij berkenaan ke kubur mendiang bapanya, Datuk Yeoh Kian Teik.

Sesi bertemu peminat Malaysia yang berlangsung hari ini dianjurkan oleh A Next Star Production dan Fast Track Events dengan kerjasama Pavilion Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI