JOHOR BAHRU – Seorang penyelia sebuah syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM92,220 setelah ditipu satu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada pengadu yang berusia 41 tahun, semalam.
Menurut beliau, mangsa mula menunjukkan minat kerana diperdaya bahawa kerja sambilan itu dapat memberi pulangan lumayan.
“Menurut mangsa, dia menerima pesanan ringkas pada 13 April daripada sebuah syarikat yang menawarkan kerja sambilan iaitu dengan menyiapkan tugasan, dia dijanjikan pulangan dan komisen segera.
“Mangsa berminat untuk sertai sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram dan diberikan penerangan lanjut mengenai tugasan tersebut. Mangsa kemudiannya mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dengan bayaran RM92,220.
“Oleh itu, dalam tempoh 16 hingga 17 April, mangsa telah membuat 10 transaksi ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah sebanyak RM92,220,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila kesemua tugasan diambil telah diselesaikan, namun tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan.
“Sebaliknya, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain sebanyak RM46,580 bagi proses pemulangan modal serta komisen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE