fbpx

Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jadi ikon program panjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung bergambar di hadapan panjut tersebut di Kampung Ribu, Padang Rengas, Kuala Kangsar semalam. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

KUALA KANGSAR – Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi ikon pilihan Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu di Padang Rengas di sini bagi program Nyalaan Panjut 2023 yang berlangsung semalam.

Jurucakap persatuan tersebut berkata, masjid itu dipilih memandangkan ia mempunyai nilai seni yang unik kerana binaannya berteraskan tamadun Uthmaniah dan mengambil ilham daripada binaan Masjid Biru di Turkiye.

“Antara lain, situasi semasa di dalam dan luar negara yang meliputi aspek perubahan pentadbiran, jalinan antarabangsa, bencana dan juga atas faktor sejarah, pemilihan binaan ini kami anggap menepati situasi.

“Pentadbiran baharu negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10 dengan slogan Malaysia Madani membuatkan kami memilih ibu negara sebagai kawasan sasaran,” katanya di sini semalam.

Katanya, menara panjut yang dibina pada tahun ini berukuran 9.5 meter tinggi dan 15 meter lebar, dengan ia menggunakan 32 batang buluh sebagai tiang utama dan 11 batang buluh sebagai tongkat pengukuh.

Jelasnya, menara tersebut mempunyai empat tingkat yang mana setiap daripadanya menggunakan 16 batang gelegar yang diletakkan di atas 32 tetupai, dengan tia-tiap tetupai menggunakan dua batang paku buluh.

“Tetupai dan paku buluh juga digunakan pada pengadang kiri dan kanan setiap tingkat serta pada binaan tangga dan palang penstabil.

“Secara keseluruhannya, menara tersebut menggunakan sebanyak 64 gelegar, 128 tetupai, 20 keping papan lantai, 20 batang buluh pengadang sisi setiap tingkat serta lebih kurang 500 batang paku buluh yang diraut sendiri,” katanya.

Bagi lantai di setiap tingkat menara pula, katanya, ia menggunakan papan lantai.

“Untuk pemasangan panjut kali ini, sebanyak 1,600 pelita disediakan dengan kos diesel mencecah RM600. Pelita-pelita ini adalah termasuk yang disusun di sekitar kawasan tapak panjut bagi membangkitkan suasana perayaan tahun ini.

“Tenaga kerja bagi pembinaan tahun ini melibatkan semua ahli lelaki dan wanita dan turut dihadiri oleh barisan pelapis daripada golongan belia. Kira-kira 15 orang hadir ke tapak panjut setiap malam setelah selesai solat terawih iaitu sekitar pukul 10.30 malam,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja persiapan akan berjalan sehingga pukul 12.30 tengah malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI