PASIR MAS – Seorang buruh dipenjara 56 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim, 37, atau lebih dikenali sebagai Azi, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hafizi Mohd. Arifin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama Chek Norhafizzi Chek Nor, 32, yang telah dituduh dan yang masih bebas didakwa menculik Rosnazirah.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu dekat Tumpat kira-kira pukul 5.10 petang pada 13 September tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan tempoh penjara yang dihadapinya.
Sementara itu, Hajarul Falenna meminta mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal selepas mengambil kira kesalahan berat iaitu menculik yang dilakukan oleh tertuduh.
“Hukuman yang ditetapkan ini perlu mengambil kira kepentingan awam dan keselamatan mangsa yang terlibat. Mangsa trauma akibat daripada kejadian itu apabila diacukan pistol dan parang semasa diculik.
“Sehubungan itu, hukuman tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada tertuduh supaya tidak sewenang-wenangnya menculik dan melakukan jenayah,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 56 bulan bermula dari tarikh tangkap pada 12 April lalu.
Mengikut fakta kes, Mohd. Hafizi dan Chek Norhafizzi telah menculik Rosnazirah di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Hasil siasatan terhadap mangsa, wanita itu menyatakan dia dibawa menyeberangi Sungai Golok dengan menaiki bot dan sebuah trak pikap sedang menunggu mereka untuk dibawa ke Thailand dan Laos.
Siasatan lanjut mendapati, Rosnazirah diculik disebabkan oleh hutang suaminya.
Selepas beberapa hari ditahan di Laos, mangsa kemudiannya dihantar pulang oleh penculik selepas kes culiknya tular.
Sebelum ini, Chek Norhafizzi yang bekerja sebagai peniaga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 29 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Hajarul Falenna manakala Chek Norhafizzi diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Rosnazirah dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios pada 13 September lalu.
Pihak berkuasa Thailand telah menyerbu dua buah rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi Azi disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat.
Selain itu, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik. – KOSMO! ONLINE