KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mempertingkatkan kawalan selain sentiasa menjalankan pemantauan di lokasi kemalangan dan perkelahan di negeri ini sepanjang Aidilfitri.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, pihaknya turut menugaskan pegawai dan anggota di kawasan balai-balai berdekatan lokasi berisiko kemalangan termasuk di Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Jeli melakukan pemantauan berkala.
Katanya, pegawai dan anggota JBPM ditugaskan ke lokasi berkenaan menggunakan kenderaan seperti unit bermotosikal bagi memudahkan pihaknya masuk ke kawasan jalan yang sesak.
“Oleh itu, semua perantau perlu sentiasa berhati-hati ketika memandu untuk pulang ke kampung dan tidak mementingkan diri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita turut memantau lokasi perkelahan seperti pantai dan sungai yang sering menjadi kawasan percutian bersama keluarga pada musim cuti agar tidak berlaku kemalangan di kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita pada Program Pelancaran Menghapus Bahaya Kebakaran dan Ops Aidilfitri JBPM Kelantan di Mydin Mall, Tunjong di hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, hampir 90 peratus cuti pegawai dan anggota bomba dibekukan bagi melancarkan operasi memadam kebakaran di kawasan tanah gambut di Kampung Beoh dan Beris Lalang, Bachok.
Menurutnya, JBPM Kelantan masih menjalankan operasi pemadaman sejak tiga minggu lalu, melibatkan tiga balai utama iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Bachok dan Pasir Puteh. – KOSMO! ONLINE