fbpx

KPDN Pulau Pinang terima 2,769 aduan baharu tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Halim (tengah) bersama Jegan (kiri) ketika sesi 'walkabout' dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Mydin Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah mengambil tindakan terhadap 276 kes atau aduan bagi pelbagai kesalahan untuk tempoh antara 1 Januari sehingga semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, ini susulan pemeriksaan yang dijalankan terhadap 17,935 premis di seluruh negeri dengan nilai sitaan berjumlah RM1.8 juta selain kompaun sebanyak RM443,600.

“Untuk tempoh yang sama juga, KPDN Pulau Pinang telah menerima sebanyak 2,769 aduan dengan 421 daripadanya melibatkan aduan berhubung harga barang dan perkhidmatan, 65 aduan berkaitan barang kawalan dan selebihnya iaitu 2,283 adalah lain-lain aduan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi ‘walkabout’ dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain di Mydin Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jegan memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran skim harga kawalan maksimum itu dalam kalangan peniaga di negeri ini untuk tempoh empat hari pertama pelaksanaannya setakat ini.

“KPDN Pulau Pinang telah menggerakkan serta menempatkan seramai 122 orang pegawai penguatkuasa dan 66 pegawai pemantau harga di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar-pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap peniaga tertentu sekiranya dikesan berlaku sebarang ketidakpatuhan,” ujarnya.

Tambah Jegan, pihaknya turut memberi jaminan bekalan untuk semua barang kawalan yang disenaraikan adalah mencukupi sehingga Aidilfitri nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI