fbpx

Kerja penyelenggaraan lebuh raya ditangguh sehingga 7 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan persiapan lebuhraya dan tol sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gombak, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

GOMBAK – Segala kerja penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara ditangguhkan bagi memudahkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakannya itu telah mendapat persetujuan konsesi lebuh raya selama 20 hari bermula hari ini sehingga 7 Mei hadapan.

Bagaimanapun menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan sebelum ini bertujuan untuk pastikan jalan dalam keadaan selamat dan terbaik buat penggunanya.

“Atas aduan yang diterima, kita bertindak menangguhkan kerja (penyelenggaraan) itu supaya tak ganggu pengguna semasa pulang menyambut perayaan.

“Saya diberi jaminan pihak Plus Malaysia Berhad (Plus) akan lakukan yang terbaik seperti yang dikehendaki oleh KKR supaya menjamin keselesaan pengguna.

“Saluran aduan kecemasan, segala kemudahan lorong-lorong kontra disediakan membantu melicinkan aliran trafik agar sentiasa lancar sepanjang tempoh perayaan,” katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 33 lebuh raya di seluruh negara akan terlibat dalam pelaksanaan pembayaran tol percuma selama empat hari selaras dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebentar tadi.

Jelas Alexander, pelaksanaan tol percuma itu bermula pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat ini manakala satu lagi tol percuma Isnin minggu hadapan.

“Tol percuma ini boleh dinikmati kesemua pengguna jalan raya bermula pukul 12.01 pagi sehingga 11.59 malam.

“Selama ini, tempoh paling panjang tol percuma diberikan hanya sebanyak dua hari ,namun pemberian tol percuma empat hari daripada kerajaan madani merupakan pertama kali diterima rakyat,” katanya.

Terdahulu, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak berikutan kerja-kerja penyelenggaraan jalan pagi ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) memaklumkan, kesesakan itu berlaku di Kilometer (Km) 11.6 dari Km 20.2 sehingga Km 31.8.

“Pantai Timur 1 (LPT 1) trafik lancar sepanjang lebuh raya di kedua-dua hala,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI