ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor kerbau di Jalan Tanjung Bidara – Solok Duku di Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu, mangsa, Sazali Mohamad, 36, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X dalam perjalanan dari arah Tanjung Bidara pulang ke rumahnya di Jalan Solok Tulang Daing di Kampung Solok Duku.
“Ketika melalui Jalan Solok Duku, mangsa yang bekerja sendiri telah melanggar seekor kerbau dan terjatuh.
“Akibat impak pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan haiwan tersebut turut ditemui selamat dan berada di tepi jalan di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan pegawai penyiasat mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.
“Keadaan jalan gelap dan mendaki bukit, namun cuaca baik,” katanya.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE