fbpx

Gred Purata Nasional STAM 2022 meningkat 0.02 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (duduk tengah) bersama dengan sebahagian calon STAM daripada SAMT Tengku Ampuan Rahimah di SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Langat, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KUALA LANGAT- Gred Purata Nasional bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 mencatatkan 3.13 iaitu peningkatan 0.02 peratus berbanding tahun sebelumnya pada 3.15.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Gred Purata STAM 2022 bagi sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah 2.91 berbanding 2.92 pada tahun 2021.

Katanya, seramai 4,453 orang calon menduduki peperiksaan STAM pada tahun lalu daripadanya keseluruhan 4,634 calon yang mendaftar bagi peperiksaan tersebut.

“Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM telah menunjukkan kualiti yang lebih baik.

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan lain-lain keperluan yang menyokong proses pembelajaran murid,” katanya semasa mengumumkan keputusan STAM tahun 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah, di sini, hari ini.

Fadhlina menjelaskan, beliau menggalakkan pelajar untuk mengambil STAM kerana peperiksaan ini turut diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor awam.

Malah, kata beliau, STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti Al Azhar Al Sharif, Mesir tetapi juga untuk kemasukan ke universiti tempatan.

“Kami di KPM meraikan semua calon STAM tidak kira apa pun keputusan yang diperoleh calon kerana mereka mempunyai masa hadapan yang cerah bagi menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Fadhlina mengumumkan dua pelajar SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Muhammad Zaurein Rosman dan Muhammad Shahrul Nizam Mustapha diumumkan sebagai pelajar terbaik bagi keputusan STAM 2022 dengan memperoleh Mumtaz Sofi iaitu keputusan amat cemerlang dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI