fbpx

Dua beradik bersedekah jual cencaru sumbat RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUHAIRI (dua dari kiri) dan Ahmad Aiman (kiri) bersama ahli keluarga membakar ikan cencaru sumbat bakar berempah di Bandar Utama, Gua Musang kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Dua beradik mengambil keberkatan Ramadan untuk mengumpul pahala apabila bersedekah dengan cara menjual ikan cencaru sumbat bakar berempah berharga RM1 hingga RM1.50 seekor di gerai mereka di Bandar Utama, di sini.

Zuhairi Hashim, 33, berkata, bermula hari pertama Ramadan, mereka berjaya menjual 2,000 ekor ikan cencaru setiap hari.

Katanya, sebanyak 200 kilogram ikan cencaru segar dari Tok Bali, Pasir Puteh digunakan setiap hari untuk dijual.

“Gerai yang kami usahakan ini turut dibantu adik-beradik termasuk saudara-mara yang lain sepanjang proses menyediakan rempah dan membersihkan ikan.

“Kami bergotong-royong menyiapkan rempah waktu malam dan akan mula menyiang ikan pada waktu pagi selepas me­nerima stok daripada pembekal,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Zuhairi yang berniaga ikan segar sejak 10 tahun lalu juga berkata, proses penyediaan rempah memakan masa empat hingga lima jam setiap hari.

Sementara itu, adiknya, Ahmad Aiman, 24, berkata, kenaikan harga bahan mentah tidak menghalang untuk mereka berbuat amal menjual ikan pada harga murah meskipun hanya mendapat keuntungan kecil.

Katanya, operasi jualan ikan cencaru tersebut bermula pukul 3 petang sehingga 7 petang.

“Selain berniaga, niat asal kami adalah untuk bersedekah. Walaupun untungnya kecil, kita saling membantu orang ramai untuk membeli dan merasa ikan bakar rempah kami.

“Cencaru yang dijual adalah bersaiz kecil, malah kami juga menjual ikan terubuk pada harga RM17 seekor sebagai pilihan untuk pelanggan mengikut cita rasa mereka,” katanya.

Seorang pelanggan, Rosnani Seman, 45, berkata, dia merupakan antara pelanggan tetap yang sering membeli ikan bakar di gerai berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana masih ada peniaga yang mampu menjual ikan yang sudah siap dimasak pada harga murah.

“Bagi saya, harga ini memang melebihi harga Rahmah yang di­saran pihak kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI