KUALA TERENGGANU – Peminat air buah D’Flora yang menjadi pelanggan tetap sejak awal Ramadan lalu kehampaan apabila gerai tersebut telah menutup operasi sejak Sabtu lalu.
Tinjauan Kosmo! pada malam kelmarin mendapati, masih terdapat segelintir pelanggan singgah di tapak perniagaan gerai itu di Jalan Pasir Panjang, di sini yang telah dikosongkan.
Seorang pelayan gerai air buah terkenal itu yang dikenali sebagai Darlene Adrienne, 32, berkata, penutupan tersebut bagi memberi peluang kepadanya dan rakan sekerja untuk membuat persiapan sebelum Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.
“Memang dalam perancangan asal, kita hanya mahu berniaga sementara di Jalan Pasir Panjang ini dalam tempoh dua minggu pertama Ramadan.
“Ini pun kita telah lanjutkan operasi perniagaan hingga minggu ketiga Ramadan berikutan permintaan ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sehubungan itu, Darlene memohon maaf tidak dapat menunaikan permintaan untuk meneruskan perniagaan sehingga akhir Ramadan.
Jelasnya, selain memerlukan rehat, dia dan rakan-rakannya yang terlalu sibuk berniaga sebelum ini juga mahu menumpukan pula kepada persiapan 1 Syawal.
“Selepas ini, kami hanya akan memberi tumpuan kepada Restoran D’Flora yang terletak di Kampung Saujana, Setiu.
“Operasi perniagaan air buah kami akan kembali dibuka di restoran itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Kosmo! pada 4 April lalu melaporkan gerai air buah, D’Flora di Jalan Pasir Panjang pada Ramadan ini dipenuhi ramai pelanggan terutama golongan lelaki untuk bermoreh selepas selesai solat sunat tarawih.
Sebelum ini, restoran air buah tersebut menjadi tular setelah Darlene mencetuskan kontroversi apabila video adegan dirinya dipeluk pelanggan lelaki tersebar di media sosial.
Rentetan isu tersebut, restoran berkenaan diserbu sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) pada Julai tahun lalu.
Insiden itu telah membuatkan Darlene insaf dan mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku serta lebih berwaspada dalam perilakunya.